Accor buka hotel Mercure ketujuh di Malaysia

By Mohd Zaky Zainuddin

Mercure Kuala Lumpur Glenmarie Accor

Mercure Kuala Lumpur Glenmarie 

SHAH ALAM: Accor SA, syarikat hospitaliti multinasional Perancis yang juga pemilik dan pengendali jenama hotel terkenal mengembangkan operasinya di Malaysia menerusi pembukaan rasmi hotel bertaraf empat bintang Mercure Kuala Lumpur Glenmarie.

Mercure adalah jenama hotel berstatus pertengahan bersama-sama Novotel dan Adagio dengan yang dikendalikan Accor SA termasuk berstatus mewah seperti Raffles, Fairmont dan Sofitel, manakala premium iaitu MGallery, Pullman serta Swissôtel dan kelas ekonomi iaitu ibis dan hotelF1.

Ketua Pegawai Eksekutif Accor Asia Tenggara, Jepun dan Korea Selatan, Garth Simmons, berkata pembukaan hotel Mercure di Shah Alam iaitu cawangan ketujuh di Malaysia menjadi tambahan penting kepada portfolio jenama berkenaan di negara ini.

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan Mercure Kuala Lumpur Glenmarie yang menyertai rangkaian Mercure global yang memiliki lebih 810 hotel di lebih 60 negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mercure Kuala Lumpur Glenmarie room

Majlis perasmian yang berlangsung hari ini disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Selain Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, Accor juga memiliki dan mengendalikan cawangan sama di Kota Kinabalu, Sabah; Langkawi, Kedah; dua cawangan di Kuala Lumpur; dan dua cawangan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Mercure Kuala Lumpur Glenmarie terletak di kawasan strategik dalam pembangunan bersepadu Ultropolis Glenmarie.

Bangunan hotel yang menjadi sebahagian 8.78 hektar universiti metropolis terdiri daripada UOW Malaysia KDU University College dan beberapa komponen lain termasuk blok apartmen.

Hotel berkenaan yang menjadi rangkaian jenama antarabangsa pertama di Glenmarie menampilkan identiti jenama baharu di Malaysia.

Selain kawasan awam, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie menawarkan 209 bilik dan 10 suite eksekutif yang dihiasi dengan karya seni kartunis Malaysia, Reggie Lee yang mengetengahkan nurkilan pelbagai aspek kehidupan dan budaya biasa Malaysia.

Mercure Kuala Lumpur Glenmarie lobby

Sementara itu, Pengurus Besar Mercure Kuala Lumpur, Ramesh Singh Sappel berkata, hotel berkenaan telah mula beroperasi pada November 2021.

“Kami bekerja keras untuk menawarkan pengalaman berinspirasikan tempatan kepada pengembara perniagaan dan percutian.

“Antara yang ditekankan hotel ini termasuk lobi yang dilengkapi dengan permainan papan dan pelbagai buku untuk menghiburkan tetamu. Di ruang istirehat kolam renang atas bumbung atau Urban@13 pula sesuai untuk tetamu berehat semasa bercuti.

“Tetamu juga boleh menikmati sajian makanan tempatan di Warna sepanjang hari yang turut menawarkan menu antarabangsa,” katanya.

As published: Berita Harian