Faedah rendah lonjak permintaan rumah

Pasaran hartanah kediaman dijangka akan meningkat tahun ini walaupun situasi pandemik COVID-19 masih mencabar, didorong penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan kepada 1.75 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Corporation Bhd, Jeffrey Chew, berkata berdasarkan situasi semasa tahun ini, permintaan terhadap hartanah kediaman akan lebih positif berbanding 2019 dan 2020.

“Kadar faedah rendah ini menjadi faktor utama pembelian hartanah kediaman tahun ini. Dengan kadar faedah rendah, ia memberi kelebihan kepada pembeli untuk memiliki kediaman sendiri berbanding menyewa. “Ini menjadikan sasaran pasaran hartanah lebih positif tahun ini. Malah, ia dijangka lebih baik berbanding 2019 dan 2020.

“OPR diharapkan kekal rendah dalam tempoh yang terdekat bagi memastikan pemulihan pasaran hartanah dapat dicapai,” katanya selepas taklimat media prestasi kewangan kumpulan pada 2020 secara maya, semalam. Chew berkata, walaupun ada isu lambakan hartanah tidak terjual, ia hanya satu peratus berbanding keseluruhan jualan hartanah dan bukan menjadi masalah utama.

“Pemulihan ekonomi negara termasuk pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan juga akan menjadi dorongan kepada pasaran hartanah,” katanya. Berdasarkan data kumpulan pada 2020, katanya, unit kediaman bertanah jadi pilihan utama pembeli dan trend ini akan berterusan tahun ini berbanding unit kediaman bertingkat.

Beliau berkata, antara faktor peningkatan permintaan terhadap unit kediaman bertanah adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi pandemik.

“Ketika PKP, pembelilebih cenderung memiliki kediaman bertanah kerana lebih bebas dan boleh lakukan pelbagai aktiviti.

“Ketika PKP, banyak kemudahan apartmen dan kondominium ditutup sebaliknya kediaman bertanah bebas dan mengurangkan risiko jangkitan kerana tidak menggunakan satu kemudahan sama seperti lif,” katanya.

Chew berkata, jualan hartanah kumpulan pada 2020 melepasi kadar jualan tahun sebelumnya sebanyak 11 peratus disebabkan penjualan lebih tinggi pada separuh kedua 2020.

Katanya, pelancaran projek baharu yang mendorong penjualan hartanah kumpulan adalah Sinaran di Utropolis Batu Kawan Pulau Pinang; Cendana di Greenwoods Salak Perdana dan Sejati Lakeside di Cyberjaya. Cabang hartanah Paramount pada 2020 memperoleh pendapatan sebanyak RM584.4 juta, lebih rendah berbanding RM700.3 juta pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai kumpulan juga susut 47 peratus kepada RM62.6 juta berbanding RM117.4 juta pada 2019.

As published: Berita Harian