Paramount beli tanah 1.06 hektar di Putrajaya pada harga RM40 juta
KUALA LUMPUR: Paramount Corp Bhd memperoleh sebidang tanah pegangan bebas seluas 1.06 hektar di Putrajaya pada harga RM40 juta sebagai sebahagian daripada strategi penambahan simpanan tanah yang berdisiplin.
Pemerolehan itu dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Phoenix Blanc Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian jual beli dengan Cahaya Nusantara Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam pembangunan dan pembinaan hartanah.
Paramount berkata, pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman yang dijana serta pinjaman bank.
Tanah berkenaan diperuntukkan untuk pembangunan kediaman bertingkat tinggi dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM323 juta.
Projek itu dijangka dilancarkan kira-kira setahun selepas perjanjian jual beli dimuktamadkan.
Susulan pemerolehan tersebut, jumlah GDV kumpulan dijangka meningkat kepada RM5.04 bilion dan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, katanya.
Paramount turut memaklumkan bahawa tanah itu hadir dengan perintah pembangunan yang telah diperoleh, sekali gus membolehkan peralihan yang lebih pantas daripada pemerolehan kepada pembinaan serta menyokong strategi kelajuan ke pasaran kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew, berkata pemerolehan itu meneruskan momentum penambahan rizab tanah tahun lalu, di mana kumpulan memperoleh kira-kira 147 hektar tanah dengan potensi pembangunan bernilai RM2.3 bilion, sekali gus menandakan pembelian tanah pertamanya bagi tahun ini.
“Pemerolehan ini mencerminkan keputusan yang dibuat secara teliti dan berasaskan nilai untuk melabur dalam tanah berorientasikan transit, yang kami percaya kekal sebagai antara kelas aset paling berdaya tahan dan mendapat permintaan tinggi dalam pembangunan bandar,” katanya dalam satu kenyataan.
Chew menambah bahawa tapak di Putrajaya itu sedia untuk dibangunkan, membolehkan Paramount bergerak pantas bagi memenuhi permintaan terhadap projek kediaman berorientasikan transit (TOD) sambil memanfaatkan kehadiran jenama kumpulan yang telah kukuh di kawasan berkenaan.
As published: Berita Harian