Paramount Corporation jangka jualan lebih baik separuh kedua 2021

PEMAJU hartanah, Paramount Corporation Bhd menjangka mencapai prestasi jualan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini berbanding separuh pertama 2021 apabila sekatan pergerakan bagi membendung pandemik Covid-19 telah dilonggarkan selain peningkatan kadar vaksinasi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, kumpulan itu memiliki lebih banyak projek pembangunan yang sedang dibangunkan pada separuh kedua 2021, terdiri daripada rumah kediaman di Batu Kawan, Pulau Pinang dan di pusat bandar Kuala Lumpur, serta di Kemuning Utama dan Bukit Banyan di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun katanya, prestasi syarikat itu pada suku ketiga 2021 akan dipengaruhi oleh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor pada Julai yang menyebabkan kerja pembinaan terhenti di lima daripada tapak projeknya.

“Ketika sekatan pergerakan dilonggarkan beransur-ansur, kami berharap dapat mengekalkan momentum jualan yang kukuh.

“Menjelang tahun depan, apabila kebanyakan rakyat Malaysia telah menerima vaksin, keadaan akan kembali normal dan saya fikir lebih ramai orang akan mula menimbang membeli hartanah, dan sentimen sedikit sebanyak bertambah baik pada 2022,” katanya semasa taklimat maya bagi keputusan separuh pertama 2021 kumpulan pada Isnin.

Jeffrey berkata, kadar faedah rendah dan pengecualian duti setem di bawah Kempen Pemilikan Rumah juga kekal penting bagi memberi insentif untuk membeli hartanah.

Jualan hartanah kumpulan pada separuh pertama 2021 meningkat 62 peratus kepada RM309 juta daripada RM191 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan kukuh daripada jualan sedia ada serta produk baharu daripada projek sedia ada. Setakat 30 Jun, 2021, kumpulan itu memiliki tunai berjumlah hampir RM250 juta dan mengekalkan kemudahan perbankan mencukupi bagi membiayai operasinya, serta jualan belum dibil sebanyak RM1 bilion, yang dijangka menyediakan sokongan kepada aliran tunai kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

As published: Sinar Harian