Paramount Corporation Bhd telah menerima kelulusan dari Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menjual kepentingan kawalan ekuitinya dalam perniagaan pendidikan pratertiari kepada Prestigion Education Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Two Horses Capital Sdn Bhd) pada harga RM540.5 juta.
Institusi pratertiari yang terbabit dalam urus niaga ini adalah Sekolah Sri KDU, Sekolah REAL, prasekolah REAL Kids dan pusat pengayaan Cambridge English For Life (CEFL).
Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Corp, Jeffrey Chew, berkata kelulusan MOE adalah syarat terdahulu untuk menyempurnakan perjanjian jual beli yang dimeterai pada 19 Jun tahun lalu.
“Urus niaga dijangka selesai pada suku pertama tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, semalam.
Beliau berkata, apabila selesai, Paramount Corp akan mengekalkan pegangan 20 peratus efektif dalam perniagaan pendidikan pratertiari.
“Daripada jumlah itu, RM177 juta akan diagihkan kepada pemegang saham sebagai dividen khas, RM150 juta untuk membeli simpanan tanah dalam tempoh dua tahun akan datang, RM133.6 juta sebahagiannya membayar balik pinjaman dan RM57 juta digunakan sebagai modal kerja.
“Dengan asas pro forma, keuntungan yang diperoleh daripada pelupusan itu dianggarkan sebanyak RM487.8 juta,” katanya.
Beliau berkata, penjualan itu akan membuka jalan bagi syarikat menumpukan sumbernya bagi mengembangkan perniagaan teras pembangunan hartanahnya sambil meneroka peluang perniagaan baharu.
“Paramount Corp akan mencari simpanan tanah yang baik supaya kami dapat berkembang dalam lima tahun akan datang,” katanya. Beliau berkata, syarikat itu juga akan mengkaji usaha sama dalam pembangunan hartanah dan perniagaan berkaitan hartanah sambil menguatkan keupayaan pembinaannya dan mengembangkan ruang dan perkhidmatan bersama. BERNAMA
As published: Berita Harian