Paramount jangka prestasi jualan hartanah lebih baik

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Paramount Corporation Bhd, menjangka mencapai prestasi jualan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini berbanding separuh pertama 2021 apabila sekatan pergerakan bagi membendung pandemik COVID-19 dilonggarkan di samping peningkatan kadar vaksinasi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong, berkata kumpulan itu memiliki lebih banyak projek pembangunan yang sedang dibangunkan pada separuh kedua 2021, terdiri daripada rumah kediaman di Batu Kawan, Pulau Pinang dan di pusat bandar Kuala Lumpur, serta di Kemuning Utama dan Bukit Banyan di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, katanya, prestasi syarikat itu pada suku ketiga 2021 akan dipengaruhi oleh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor pada Julai yang menyebabkan kerja pembinaan terhenti di lima daripada tapak projeknya.

“Ketika sekatan pergerakan dilonggarkan beransur-ansur, kami berharap dapat mengekalkan momentum jualan yang kukuh.

“Menjelang tahun depan, apabila kebanyakan rakyat Malaysia sudah menerima vaksin, keadaan akan kembali normal dan saya fikir lebih ramai orang akan mula menimbang membeli hartanah, justeru sentimen sedikit sebanyak bertambah baik pada 2022,” katanya semasa taklimat maya bagi keputusan separuh pertama 2021 kumpulan, hari ini.

Beliau berkata, kadar faedah rendah dan pengecualian duti setem di bawah Kempen Pemilikan Rumah juga kekal penting bagi memberi insentif untuk membeli hartanah.

Jualan hartanah kumpulan pada separuh pertama 2021 meningkat 62 peratus kepada RM309 juta daripada RM191 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan kukuh daripada jualan sedia ada serta produk baharu daripada projek sedia ada.

Setakat 30 Jun 2021, kumpulan itu memiliki tunai berjumlah hampir RM250 juta dan mengekalkan kemudahan perbankan mencukupi bagi membiayai operasinya, serta jualan belum dibil sebanyak RM1 bilion, yang dijangka menyediakan sokongan kepada aliran tunai kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Setakat 30 Jun 2021, tanah syarikat yang belum dibangunkan adalah seluas 223.02 hektar terdiri daripada 75.91 hektar di Lembah Klang dan 147.10 hektar di Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara itu, mengulas mengenai diskaun yang diberikan ke atas hartanah yang sudah siap, Sun Teong berkata pemaju tidak dijangka memberikan diskaun 30 hingga 50 peratus kepada pembeli di tengah-tengah kelembapan pasaran hartanah.

Menurutnya, Paramount akan memberikan kadar diskaun biasa dan beberapa pengemasan tambahan tetapi tidak akan menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.

“Ini kerana hartanah akan tetap bernilai sepanjang masa dan tidak menjadi usang dengan mudah,” katanya.

Bagi suku kedua 2021 yang berakhir 30 Jun 2021, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.62 juta berbanding kerugian bersih RM4.01 juta pada suku kedua 2020.

Hasil berkembang sebanyak 98 peratus kepada RM127.4 juta berbanding RM64.2 juta sebelumnya.

-BERNAMA

As published: Berita Harian