Paramount perkukuh kehadiran di utara, sasar projek RM946 juta di Kulim
By Hawan Faisal Mohamad
KUALA LUMPUR: Paramount Corporation Bhd meneruskan strategi pembelian tanah berdekatan projek sedia ada bagi memendekkan tempoh pembangunan dan memanfaatkan pengaruh jenama, yang terbukti berjaya di utara tanah air.
Ia dicapai menerusi pembinaan perbandaran seperti Taman Patani Jaya (70 hektar, siap dibangunkan), Bandar Laguna Merbok (200 hektar, siap dibangunkan) dan Bukit Banyan (266 hektar, sedang dibangunkan).
Penganalisis TA Securities, Thiam Chiann Wen, berkata pendekatan itu membolehkan syarikat membina asas pasaran kukuh, sekali gus mendorong jualan konsisten untuk projek baharu.
Terbaharu, katanya Paramount menandatangani perjanjian jual beli dengan Golden Bluechip Sdn Bhd bagi membeli empat lot tanah pegangan bebas berkeluasan 119.61 hektar di Bandar Lunas, Kulim, Kedah, pada harga RM128.74 juta atau RM10 sekaki persegi.
“Tanah ini terletak kira-kira 12 kilometer di utara pusat bandar Kulim dan hanya empat kilometer dari Fasa 4A Kulim Hi-Tech Park (KHTP), sebuah hab industri dan semikonduktor utama di negara ini.
“Paramount merancang membangunkan tanah ini sebagai perbandaran bercampur dengan gabungan kediaman, komersial dan lot industri, selain dilengkapi kemudahan rekreasi dan prasarana utama. Nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini dianggarkan RM946 juta, dengan tempoh pembangunan tujuh tahun dan pelancaran pertama dijangka pada 2027.
“Harga pembelian dianggap berpatutan kerana hampir menyamai penilaian pasaran bebas sebanyak RM128.8 juta. Dengan kos tanah hanya 14 peratus daripada GDV, ia lebih rendah berbanding penanda aras industri sekitar 20 peratus dan memberi ruang keuntungan yang lebih sihat kepada syarikat,” katanya dalam satu nota penyelidikan,
Pengambilalihan itu adalah yang kedua bagi Paramount pada 2025, selepas pembelian tanah seluas 7.68 hektar di Batu Kawan bernilai RM58 juta pada Julai lalu.
Secara keseluruhan, syarikat itu membelanjakan RM187 juta bagi pengumpulan tanah setakat ini, dengan potensi GDV terkumpul mencecah RM1.7 bilion.
“Dengan tambahan projek di Kulim, baki GDV syarikat kini meningkat kepada RM7.2 bilion, selari sasaran pengurusan untuk menambah sekurang-kurangnya RM2 bilion GDV baharu bagi menyokong pelancaran projek dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Chiann Wen menambah, pembangunan Embun Hills seluas 28 hektar di Bukit Mertajam dengan GDV sebanyak RM460 juta baru-baru ini mencatatkan jualan 100 peratus bagi 30 unit pejabat kedai komersial pada hari pelancaran.
“Sementara itu, Fasa 1 komponen kediaman yang merangkumi 114 unit rumah teres dan berkembar kluster berharga antara RM800,000 hingga RM900,000 setiap satu, mencapai kadar tempahan sebanyak 45 peratus.
“Permulaan kukuh ini menyerlahkan keupayaan kumpulan untuk memacu permintaan tinggi terhadap pelancaran baharu dengan memanfaatkan pengetahuan mendalam tentang pasaran tempatan, jenama yang kukuh, serta rekod prestasi pelaksanaan yang terbukti,” katanya.
Walaupun pengambilalihan tanah baharu itu dijangka meningkatkan kadar hutang kasar Paramount kepada 0.83 kali, melebihi paras selesa pengurusan sebanyak 0.75 kali, syarikat menegaskan ia bersedia menerima paras hutang lebih tinggi untuk peluang pelaburan strategik yang memberi nilai tambah.
As published: Berita Harian