Paramount tembusi pasaran hartanah Thailand

BANGKOK: Paramount Corporation Bhd (Paramount) menembusi pasaran pembangunan hartanah Thailand dengan pembelian 49 peratus kepentingan dalam syarikat hartanah berpangkalan di Bangkok.

Pada 22 Januari lalu, Paramount memeterai perjanjian jual beli bersama Navarang Asset Company Limited untuk membeli kepentingan dalam Navarang Charoennakorn Company Limited pada harga 60.27 juta baht (RM8.43 juta).

Satu majlis diadakan di sini hari ini untuk merasmikan kerjasama perniagaan itu.

Di bawah perjanjian, Paramount Global Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Paramount akan memiliki 49 peratus kepentingan Navarang Charoennakorn, manakala Navarang Asset menguasai baki 51 peratus lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew, berkata pembelian itu adalah satu pencapaian penting kerana membuka horizon baharu kepada syarikat.

“Ini penerokaan pertama Paramount dalam pembangunan hartanah di luar Malaysia. Kami gembira berada di Thailand bersama rakan perniagaan, Navarang Asset, sebuah pemaju yang dihormati dengan trek rekod cemerlang projek kediaman serta komersial premium,” katanya dalam satu kenyataan.

Chew berkata, Navarang Charoennakorn akan melancarkan Na Reva, sebuah projek kondominium 29 tingkat, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) 1.3 bilion baht (RM172 juta) di tebing Sungai Chao Phraya, pada 13 Februari ini.

Katanya, projek itu adalah pilihan yang menarik untuk rakyat Malaysia yang berminat melabur dalam hartanah luar negara, kerana kondominium di Bangkok terus menghasilkan pulangan baik.

As published: Berita Harian