Untung bersih Paramount meningkat kepada RM102.44 juta
Oleh Bernama
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Paramount Corporation Bhd meningkat kepada RM102.44 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 daripada RM82.83 juta pada tahun sebelumnya.
Paramount dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan pada tahun tersebut juga naik kepada RM1.04 bilion daripada RM1.01 bilion yang disumbangkan terutamanya oleh pendapatan pelaburan dan keuntungan daripada segmen-segmen lain.
Bagi tempoh suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024, keuntungan bersihnya menokok kepada RM54.11 juta daripada RM28.20 juta pada tahun sebelumnya.
Perolehan pula meningkat kepada RM361.08 juta daripada RM309.35 juta yang dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam segmen pelaburan, hartanah dan segmen lain.
Mengenai prospek, pemaju hartanah itu berkata pasaran perumahan Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kata syarikat itu, walaupun terdapat gangguan berkaitan pandemik, Pusat Maklumat Harta Negara (NAPIC) dalam Laporan Pasaran Harta 2023 mendedahkan jumlah dan nilai tahunan sektor tersebut melebihi paras prapandemik 2019, sejajar dengan pertumbuhan serta pemulihan ekonomi Malaysia.
Bagaimanapun, kata Paramount pertumbuhan dalam ekonomi Malaysia akan terus menyokong pasaran perumahan.
“Kumpulan menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM1.5 bilion pada 2025 bersama sumbangan dqaripada jualan hartanah yang belum dibilkan.
“Kumpulan ini optimis berhubung prospek tahun kewangan 2025 dan akan terus berhati-hati dalam mengharungi persekitaran global yang mencabar,” katanya.
Kumpulan turut mengumumkan pembayaran dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2024.
Tarikh akhir pada 6 Mac 2025 dan tarikh pembayaran pula pada 21 Mac 2025.
Jumlah dividen bagi tahun kewangan semasa 7.5 sen berbanding 7.0 sen pada 2023.
-BERNAMA
As published: Berita Harian