Untung bersih S4 2023 Paramount RM28.2 juta

By CATHERINE IRENE MILTON The Atera Paramount Property

ANTARA projek hartanah dibangunkan oleh Paramount. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Paramount Corp Berhad (Paramount) merekodkan keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023 sebanyak RM28.2 juta iaitu kenaikan 49.28 peratus berbanding RM18.89 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, lonjakan keuntungan tersebut dipengaruhi oleh penambahbaikan dalam semua aspek perniagaan Kumpulan tersebut termasuklah hartanah, pelaburan dan kerja sama dengan hubungan lain.

Katanya, bagi hasil suku tahunan mencatatkan peningkatan sebanyak 26.14 peratus kepada RM309.39 juta daripada RM245.24 juta.

“Maka, pendapatan per saham juga meningkat kepada 4.53 sen daripada 3.04 sen,” katanya dalam pembentangan prestasi tahun kewangan 2023 Paramount, di sini semalam.

Dalam pada itu, kumpulan turut mengumumkan dividen bagi interim kedua sebanyak empat sen sesaham yang akan mula dibayar pada 27 Mac ini.

“Setakat ini, pembayaran bagi TK2023 hanyalah kepada tujuh sen sesaham,” ujarnya.

Jeffrey menambah, keuntungan bersih penuh TK2023 melonjak sebanyak RM82.84 juta iaitu peningkatan 37.6 peratus berbanding RM60.2 juta pada tahun kewangan 2022.

Dalam masa sama, Paramount juga berjaya memecah rekod baharu bagi jualan hartanah mereka iaitu sebanyak RM1.12 bilion.

Mengulas lanjut mengenai jangkaan TK2024, kumpulan itu menyasarkan sebanyak RM2.4 bilion bagi pelancaran projek hartanah tahun ini.
“Kami menjangkakan tahun ini akan kekal mencatatkan prestasi keuntungan yang lebih memuaskan, dan kami akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan pertumbuhan jualan yang positif,” katanya. – UTUSAN As published: Utusan Malaysia